KUCHING 22 Ogos – Seorang pensyarah lelaki di sebuah universiti swasta di sini dicekup di hadapan pintu kaunter kutipan Pos Laju Jalan Song setelah dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan termasuk mengedar dadah, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.45 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menyerbu serta menahan mangsa dalam keadaan mencurigakan dengan membawa satu bungkusan di pejabat khidmat pos itu.
Ketua JSJN negeri, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, suspek yang juga pegawai teknologi maklumat (IT) berusia 36 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 2010 dan mula mengedarnya pertengahan tahun ini.
Menurutnya, ketika dibawa ke kenderaannya suspek sendiri menyerahkan dua ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.
“Suspek seterusnya dibawa ke pejabat JSJN IPK Sarawak sebelum pemeriksaan pada bungkusan pos laju dibuat dihadapannya mendapati mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.
“Soal siasat terhadap suspek mendedahkan masih ada dadah disimpan yang ditemukan di bahagian siling sebuah tandas perempuan di universiti tempat dia bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan di bahagian siling itu menemukan kotak bertulis 'Urban Decay’ di dalamnya terdapat satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja.
“Sebuah beg hitam juga ditemukan yang di dalamnya satu kotak bertulis ‘Urban Decay’ mengandungi dua ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja disamping satu alat timbang elektronik, gulungan kecil plastik dan pisau pemotong.
“Berat keseluruhan dadah dianggarkan 2.24 kilogram yang bernilai RM22,300," jelasnya.
Menurut beliau, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana saringan awal air kencing didapati positif THC dan methampethamine.
“Suspek didapati tiada rekod kesalahan lampau telah ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 28 Ogos nanti,” katanya.