Perintah reman selama lima harı terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 33 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Hanum Mohmad Sah, di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi mendapatkan tahanan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Penahan reman itu dibuat sehari selepas seorang eksekutif teknikal Felda Investment Corporation (FIC) Integrated Property Management Sdn. Bhd.  berusia 35 tahun dan kontraktor berumur 32 tahun, direman selama empat harı bagi kes sama.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, penangkapan keempat-empat suspek berkenaan menerusi Ops Gabion telah dimulakan kelmarin berkait dengan kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh untuk rumah peneroka Felda Trolak Selatan dekat Sungkai.

“Sedangkan, kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi ‘Bill of Quantity’ yang ditetapkan oleh jawatankuasa tender bernilai RM137,900. Bagi kes ini, kita percaya, penyediaan ‘quotation' itu dilakukan oleh satu kontraktor sahaja sementara syarikat-syarikat lain bertindak sebagai ‘dummy’.

“Siasatan masih lagi diteruskan tetapi kita percaya seolah-olah wujud pakatan antara pihak yang memantau dengan pihak yang memberikan projek. Setakat ini, kita kenal pasti wujudnya tuntutan palsu di mana kerja-kerja yang dibuat itu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini harı ini. - UTUSAN ONLINE