Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, berbanding tahun 2017, jumlah kerugian yang dicatatkan menunjukkan peningkatan sebanyak RM3.3 juta.

"Pada tahun ini, sehingga hari ini kerugian yang direkodkan adalah RM440,000, dan ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap isu ini masih belum memuaskan.

"Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai agar jangan sekali-kali menyerahkan nombor TAC yang diterima menerusi SMS kepada orang lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi, sebaliknya mereka perlu terus menghubungi bank," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saiful Azly turut berkata sebanyak 145 individu ditahan selepas disyaki menjadi keldai akaun dalam Operasi Mule Account Siri 2 bermula 10 Disember lalu.

"Sebanyak 90 lelaki dan 55 wanita berusia antara 19 hingga 63 tahun yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi, pesara, penagih dadah dan lain-lain ditahan untuk membantu siasatan.

"Antara alasan yang diberikan mereka adalah membuat pinjaman ah long dan menyerahkan dokumen peribadi serta nombor akaun, keciciran dokumen peribadi, diupah sindiket serta diperdaya rakan yang baru dikenali," jelasnya.

Tambahnya, pemilik akaun yang digunakan untuk kegiatan jenayah penipuan boleh disiasat dan dihukum mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 414 KK, Seksyen 424 KK, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan pelanggaran terma dan syarat pembukaan akaun bank. - UTUSAN ONLINE