Tajudin Md. Isa

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan membabitkan penipuan penjualan telefon bimbit hasil laporan mangsa-mangsa sebelum ini.

“Salah seorang suspek dalam dua kes tersebut telah ditangkap dan kini direman sehingga esok manakala seorang lagi masih dikehendaki serta sedang dikesan.

“Selain itu, serbuan juga pernah dilakukan di kompleks membeli-belah terbabit kelmarin dengan berjaya merampas 500 unit telefon bimbit disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mempersoal mengapa peniaga menipu tidak ditahan.

Sebelum itu, dua aktivis PPIM dilaporkan ditahan polis hampir 24 jam bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan di Kompleks Kota Raya pada dua minggu lalu.

Dalam pada itu, Tajudin juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan.

“Pihak polis akan meneruskan siasatan dan menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan,” ujarnya.