Tertuduh, Ridzuan Mat Nor, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan empat keping wang RM50 dengan nombor siri SB0516251 dan dua keping wang RM50 nombor siri KB5143322

dengan mengetahuinya palsu sebagai tulen kepada peniaga, Ee Lean Kiew.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan besar Taman Asoka, Mantin di Nilai pada pukul 11.30 pagi, 20 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dua keping wang RM100 nombor siri BV9901303 dengan mengetahuinya palsu sebagai tulen kepada Muhammad Danish Izzman Sharizal di Kampung Tarun, Broga dekat Nilai pada pukul 11.30 pagi, 5 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pihak pendakwaan juga menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.

Ridzuan yang menangis sambil menundukkan kepala di kandang tertuduh dibenarkan diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selepas peguamnya, A.Parthiban mengemukakan rayuan. 

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Bangi, Selangor pada setiap Ahad minggu ketiga setiap bulan.

Ramesh kemudian menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh yang mengalami strok di bahagian kiri tubuhnya sejak sebulan lalu membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. - UTUSAN ONLINE