Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa seorang wanita berusia 59 tahun membawa wang berkenaan di dalam beg tangannya untuk dimasukkan ke dalam sebuah bank berhampiran.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, ketika mangsa berjalan kaki menuju ke tempat letak kereta seorang lelaki datang dari arah belakang telah menarik beg tangannya.

"Suspek kemudiannya telah melarikan diri ke arah belakang stesen minyak berkenaan bersama beg tangan mangsa dan menghilangkan diri.

"Suspek didapati memakai topi kaledar berwarna hitam dan tidak mengacukan apa-apa senjata terhadap mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan mangsa telah bekerja di stesyen minyak tersebut sejak 15 tahun yang lalu dan setiap hari mangsa akan membawa wang jualan stesen minyak itu ke bank.

"Jumlah kutipan RM35,000 ini adalah kutipan selama seminggu berikutan cuti Tahun Baharu Cina.

"Mangsa memaklumkan dia tidak pernah beritahu kepada sesiapa yang dia akan pergi ke bank untuk memasukkan duit kerana takut diikuti orang dan hal ini diakui oleh juruwang yang telah bekerja selama empat tahun dengan mangsa," katanya.

Tambahnya, pihak polis sedang berusaha memburu suspek dan kes disiasat dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE