Tertuduh, Lee Lye Seng, 49, dan R. Arasakumaran, 44, turut diarahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Majistret Arif Mohamad Shariff juga menetapkan kedua-dua tertuduh membayar pampasan RM1,000 setiap seorang kepada mangsa yang berusia 51 tahun dan jika gagal berbuat demikian boleh dipenjara sebulan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Uh Chorng Von, 51, di dalam pejabat kilang No 50 Jalan PKNK 1/6 Kawasan Perusahaan Sungai Petani, kira-kira pukul 4.15 petang, pada 2 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya sekali.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. S. Pavitra manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang lelaki cedera dipukul tiga lelaki di Kawasan Perusahaan Sungai Petani, di sini dipercayai akibat mendedahkan kegiatan operasi haram sebuah kilang kitar semula.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dipukul di dalam pejabat kilang kitar semula tersebut yang terletak berhadapan kilangnya.

Mangsa sebelum itu dikatakan dipelawa ke kilang terbabit untuk berkenalan dengan pihak atasan kilang oleh seorang individu. - UTUSAN ONLINE