Lelaki berusia 68 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang di pejabat agensi berkenaan di sini.

Turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah koperasi itu berusia 61 tahun dan seorang pemilik sebuah syarikat swasta berusia 45 tahun.

Kedua-dua mereka masing-masing juga ditahan di pejabat SPRM negeri, kira-kira pukul 6.50 dan 6.55 petang.

Pengarah SPRM negeri, Mohd. Shukor Mahmud berkata, individu pertama yang berusia 68 tahun itu didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengerusi sebuah koperasi dan bersubahat bersama dua lagi untuk membuat tuntutan palsu ke atas agensi itu bagi mendapatkan dana berjumlah RM90,000 untuk penganjuran sebuah program pembangunan jati diri, tahun lalu.

“Program itu sepatutnya berlangsung beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14 ) dan turut membabitkan tiga pejabat Ahli Parlimen di negeri ini namun ia tidak dilaksanakan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, ketiga-tiga individu tersebut direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta SPRM 2009.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Nurul Hafzan Ab. Aziz kira-kira pukul 1 petang ini. - UTUSAN ONLINE