Ketua JSJN negeri, Superintenden Pang Jin Lai berkata, suspek ditahan di pinggir hutan di belakang rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam selepas dia pulang ke rumah dipercayai untuk mengambil bekalan dadah.

Katanya, suspek yang masuk semula ke kawasan hutan itu dipercayai untuk meneruskan kegiatan pengedaran dadah dalam kalangan penagih setempat telah berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis.

“Pemeriksaan ke atas beg sandang yang digalas suspek menemukan dadah dipercayai heroin seberat 224.5 gram dan syabu seberat 36.7 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM13,357.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif opiate dan dia mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE