Peguam yang mewakili warga emas itu, Ahmad Ishrakh Saad berkata, permohonan itu telah dikemukakan oleh pihaknya kepada Pejabat Peguam Negara pada pukul 6 petang semalam.

Jelasnya, permohonan itu dibuat selepas anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang mengenakan denda RM2,000 terhadap Lan Pet Pet atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, 49, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Isnin lalu.

“Anak guam kami terkilan dengan hukuman yang dikenakan memandangkan ia terlalu ringan dan tidak setimpal dengan faktor pemberatan yang wujud dalam kes ini.

“Kami memohon Timbalan Pendakwa Raya dan ‘Custodian of Public Interest’ mempertimbangkan untuk memfailkan notis rayuan terhadap hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi Seremban supaya hukuman dapat ditambah,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Ahmad Ishrakh berkata, antara alasan permohonan bagi merayu adalah kerana hukuman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun selain denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, alasan lain adalah kerana ia melibatkan Yahya yang berusia hampir 70 tahun diserang berseorangan oleh orang kena tuduh (OKT) yang lebih muda dalam kejadian di taman perumahan Acacia Park Desa Jati di Nilai dekat sini pada 6 April lalu.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup juga menunjukkan warga emas itu diserang tanpa belas kasihan sehingga tiga batang giginya hampir patah serta sakit dan bengkak di pinggang dan muka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, bekas ahli kumpulan lawak Senario tersebut menumbuk muka Yahya sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa kerana berang selepas ditegur tidak membuat catitan semasa masuk ke perumahan berkenaan.

Sementara itu, Yahya ketika dihubungi enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu kerana telah dinasihatkan berbuat demikian oleh peguamnya.

“Sila bercakap dengan peguam saya, dia minta saya jangan keluarkan sebarang kenyataan kepada media,” katanya. - UTUSAN ONLINE