Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang Khamis lalu itu, kesemua suspek bertindak mengumpil bilik simpanan televisyen berkenaan di tapak projek Vervia, Bandar Cassia, Batu Kawan di sini.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan, mereka kemudiannya melarikan kesemua televisyen LED yang bernilai kira-kira RM400,000 itu dengan menaiki sebuah van.

Katanya, syarikat pemaju projek berkenaan merupakan syarikat pertama di negara ini yang membawa masuk LED terkini jenama LG buatan Korea Selatan tersebut.

"Bertindak daripada laporan yang diterima, polis kemudiannya berjaya menahan suspek dan merampas sebanyak 24 daripada 28 buah televisyen yang dicuri itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sebanyak empat unit televisyen itu telah dijual suspek pada harga antara RM1,000 hingga RM2,000.

Katanya, suspek menjual televisyen itu kepada kenalan mereka serta menerusi media sosial dengan mendakwa kononnya barangan tersebut adalah hasil rampasa dan lelongan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambah beliau, kesemua suspek juga sudah direman selama seminggu bermula semalam dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 dan 411 Kanun Keseksaan.

"Dalam masa sama, kita juga sedang mengesan saki baki suspek yang terlibat dalam kejadian ini yang dipercayai masih bebas serta menjejak semula televisyen yang sudah dijual," katanya. - UTUSAN ONLINE