Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11, Superintenden Rosdi Inai berkata, pengawal berusia 53 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggotanya dalam Ops Libas di pejabat Pengawal Keselamatan Rimbunan Sawit, Biawak Plantation pada pukul 12.30 tengah hari itu.

Beliau berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang curiga terhadap lelaki berkenaan.

“Semasa ditahan untuk pemeriksaan, suspek membawa bersama senjata api iaitu selaras senapang jenis Benelli.

“Suspek gagal menunjukkan dokumen penggunaan senjata api berkenaan apabila diminta untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut di pejabat keselamatan di ladang itu membawa kepada penemuan buku daftar keluar masuk senjata api dan peluru.

Selepas diperiksa, katanya, terdapat rekod pengeluaran senjata api untuk tujuan rondaan ladang pada pukul 10.10 pagi semalam.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemukan dua laras lagi senapang daripada jenis 12Bore Seki Auto yang dipercayai sudah tamat lesen penyimpanan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan pembaharuan lesen senjata api.

“Pengawal terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, manakala tiga laras senapang bernilai kira-kira RM18,000 turut dirampas,” katanya. - UTUSAN ONLINE