Malah, lelaki berusia 26 tahun itu didapati melakukan perbuatan itu di tiga lagi premis di sekitar daerah ini pada hari yang sama.

Namun, perbuatannya itu tidak bertahan lama apabila dia ditahan tidak sampai 24 jam selepas melakukan perbuatan jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian bermula apabila suspek melarikan beberapa tin minuman keras di kedai serbaneka di kedai pertama terletak di Taman Melawati, Jalan Sungai Jati di sini kira-kira pukul 2.27 pagi.

Katanya, pekerja kedai tersebut memaklumkan bahawa suspek telah memasuki premis itu dan mengambil beberapa tin minuman keras tanpa membuat pembayaran.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Nissan Almera dan dianggarkan kerugian kedai serbaneka tersebut berjumlah RM78,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Shamsul Amar, susulan kejadian, anggotanya yang membuat rondaan di Persiaran Batu Nilam pada pukul 5.15 pagi telah terserempak dengan kereta jenis yang sama dinaiki suspek berada dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila kita menahan kereta menemukan suspek bersama enam botol dan 37 tin minuman keras bersama 31 kotak rokok pelbagai jenama. Hasil siasatan, suspek juga mengaku telah mencuri barangan berkenaan di empat buah kedai serbaneka sekitar daerah ini pada hari sama.

“Pemeriksaan terhadap suspek mendapati tiada rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga negatif dadah. Suspek kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - UTUSAN ONLINE