Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairuzaki Mohamad Yunus, 40, selepas dia mengaku memberi kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Dana, Suhaimi Hamzah dengan niat hendak memperdayakan mangsa iaitu satu set dokumen ‘Project Spending Summary, Network Vulnerability Assessment Tools (NVAT)’ yang mengandungi butiran palsu mengenai tuntutan bayaran RM200,000 bagi perbelanjaan projek tersebut.

Sedangkan tiada perbelanjaan seperti yang telah dinyatakan itu telah dilakukan di pejabat Seksyen Pengurusan Dana Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), aras 3, Blok C5, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, 2 Mac 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nor Diana Nor Azwa manakala Hairuzaki tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE