Muhammad Firdaus Naim Thikayarajan, 24, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Fauzi.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh M. Serentharan, 26, di belakang padang futsal berdekatan Jalan Kantan Buntong di sini antara pukul 9 hingga 10 malam pada 5 September 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.

Majistret Nurul Hafizah menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE