Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan di dalam semak di tepi sebuah rumah di Kampung Che Long daerah sama kira-kira pukul 3.30 pagi semalam.

Katanya, suspek yang kini direman selama seminggu hingga Isnin turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamine

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau termasuk curi, mendatangkan kecederaan dan dadah.

"Turut dirampas pakaian yang dipercayai dipakainya semasa melakukan jenayah itu," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Fazlisyam, polis masih memburu dua lagi rakam suspek bagi membantu siasatan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, seorang wanita berusia 52 tahun terpaksa menerima 19 jahitan di kepala selepas ditetak dengan parang ketika bergelut dengan suspek yang kemudian melarikan rantainya.

Sebelum kejadian, suspek berpura-pura melanggar tiang rumah dan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah mangsa dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam.

Kejadian menyebabkan motosikal di dalam rumah mangsa jatuh sebelum wanita itu keluar untuk memeriksa kejadian lalu rantai yang dipakainya diragut. - UTUSAN ONLINE