Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, tangkapan itu dilakukan di dua tempat berasingan di kampung berkenaan.

Katanya, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1 petang di sebuah rumah di kampung itu menemukan 956 biji jenis pil WY yang bernilai RM19,120.

“Hasil pemeriksaan pil terbabit dijumpai dalam poket kanan seluar pendek dipakai seorang lelaki berumur 44 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik tidur.

“Manakala, seorang lagi rakan suspek juga lelaki berumur 33 tahun yang dipecayai bersubahat pengedar pil berkenaan turut ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek berusia 44 tahun mempunyai tiga rekod lampau dan positif dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 33 tahun mempunyai satu rekod lampau.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan kedua kira-kira 3.30 petang di kampung sama pula, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berumur 40 tahun ketika cuba keluar daripada kereta dipandunya.

Katanya, ketika diperiksa pihaknya menjumpai 509 biji pil WY bernilai RM10,180 bersama satu paket serbuk kristal dipercayai syabu seberat 5.25 gram bernilai RM1,500.

“Pil bersama serbuk kristal itu dijumpai berada dalam genggaman tangan kanan suspek dipercayai ketika itu untuk aktiviti pemasaran,” katanya.

“Suspek berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan sasaran pemasarannya adalah sekitar Kampung Jerek, Kampung Mahligai dan Dabong,” katanya.

Tambah Mohd. Taufik, kejayaan itu hasil maklumat orang awam dan pihaknya berterima kasih kepada masyarakat yang memberi maklumat kepada pihak polis sehingga tertangkap tiga suspek itu.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu ditahan reman tujuh hari dan berakhir 9 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE