Perintah reman yang bermula hari ini hingga Khamis depan itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Nabilah Md. Ruslan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditangkap di rumahnya di Changlun semalam selepas anak kandungnya membuat laporan mendakwa dirogol bapanya kira-kira pukul 7 pagi, kelmarin.

“Mangsa yang sedang tidur tidak menyedari bapanya itu memasuki biliknya kemudian bertindak menindih dan merogolnya. Mangsa kemudian bertindak menolak suspek menyebabkan lelaki itu keluar dari bilik mangsa.

“Suspek bagaimanapun ada memberi amaran kepada anak perempuannya itu supaya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian berkenaan namun semalam, mangsa nekad membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ismail, pemeriksaan awal mendapati bilik tidur mangsa tidak berkunci menyebabkan suspek mengambil kesempatan menceroboh dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE