Dalam kejadian kira-kira pukul 4.38 pagi itu, mangsa, Mokharul Shamsul Mokhtar, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Mokharul Shamsul yang lebih dikenali dengan nama Asey adalah penerbit filem dari syarikat produksi DA Motion Media pernah menerbitkan filem Jodoh Syaitan dan M4M4.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya , ketika kejadian, mangsa memberhentikan Toyota Land Cruiser yang dipandunya di lorong kiri jalan sebelum keluar untuk menukar tayar belakang bahagian kanan.

Katanya, bagaimanapun, mangsa hanya memasang lampu isyarat kecemasan dan tidak meletakkan sebarang kon atau papan tanda amaran di belakang kenderaannya.

“Sebuah van yang dipandu dari arah sama sempat mengelak kenderaan tersebut namun terlanggar mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh 23 meter manakala pemandu van berusia 47 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Zulkefly, tiada laluan kecemasan di lokasi kejadian manakala jalan terbabit berada dalam keadaan baik serta kering.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN ONLINE