Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, siasatan setakat ini mendapati motif penculikan tersebut adalah untuk mendapatkan wang tebusan.

“Tidak ada kaitan dengan dadah mahupun dendam kerana menerusi siasatan awal, memang mereka (suspek) merancang untuk mendapatkan wang tebusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini ketika diminta mengulas khabar angin kononnya kes tersebut berpunca daripada perebutan dadah antara suspek dan mangsa.

Akhbar hari ini melaporkan penahanan 13 suspek lelaki berusia antara 19 hingga 39 tahun susulan dua laporan diterima polis masing-masing pada 18 Julai dan 19 Ogos lalu berhubung dua remaja lelaki berusia 18 tahun dilarikan di Skudai dan Paloh, yang keluarganya turut diminta untuk membayar wang tebusan sebanyak RM120,000.

Susulan penahanan itu, polis berjaya menyelamatkan seorang daripada remaja berkenaan yang dikurung di sebuah rumah di Pagoh, Muar selain menemukan satu rangka manusia yang tidak sempurna di tempat pembuangan sampah di kawasan yang sama disyaki milik seorang lagi mangsa. - UTUSAN ONLINE