Tertuduh, Sim Wei Der, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut pertuduhan, Wei Der didakwa bersubahat dengan pemandu lori, N. Maridass, 35 serta pengarah syarikat, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Choa, 34, untuk melupuskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak.

Perbuatan itu seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dengan melupus sisa buangan ke dalam Sungai Kim Kim dengan menggunakan sebuah lori jenis Mitsubishi dan semi treler tangki minyak sawit tanpa mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara pukul 12.01 hingga 1 pagi pada 7 Mac lalu. - UTUSAN ONLINE