Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, usaha tersebut dilakukan menerusi perkongsian maklumat risikan dan aduan untuk menangani masalah bolos serta penyeludupan orang di pintu masuk negara.

Menurut beliau, pihaknya sebelum juga turut melakukan beberapa siri tangkapan terhadap para pegawainya yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).

"Selain itu, kami juga turut berkongsi maklumat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain bagi menangani isu ini dengan tegas.

"Penahanan enam pegawai imigresen oleh SPRM kerana disyaki terlibat di dalam aktiviti penyeludupan manusia dan membenarkan orang yang telah disenarai hitam melepasi pemeriksaan imigresen," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mustafar menegaskan, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas dan tanpa berkompromi terhadap pegawai dan kakitangannya yang terbabit rasuah atau sebarang pelanggaran integriti.

Ujarnya lagi, Jabatan Imigresen tidak teragak-agak mengambil tindakan dalaman yang tegas termasuk buang kerja, digantung atau diturunkan pangkat terhadap mereka yang didapati bersalah dalam jenayah rasuah dan salah laku. - UTUSAN ONLINE