Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, suspek berusia 49 tahun bersama seorang rakannya yang masih bebas telah bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota polis dengan menggunakan kereta jenis Peroda Myvi.

Malah, kenderaan yang dipandu seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang masih bebas itu telah melanggar beberapa buah kereta dan motosikal lain di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin berkata, ketika kejadian anggota polis berkenaan sedang menjalankan rondaan di Jalan Pasar di sini.

"Anggota polis berkenaan telah ternampak sebuah kereta jenis Perodua Myvi berada di dalam keadaan mencurigakan.

"Kemudian ketika anggota polis tersebut menghampir kenderaan terbabit dan memperkenalkan diri, suspek bersama rakannya yang memandu kereta ini bertindak agresif dengan cuba melanggar mereka," katanya di sini hari ini.

Menurut Mustafa ketika kereta jenis Perodua Myvi itu sampai di Jalan Muthu Palaniappan, pihak polis berjaya menahan kenderaan tersebut.

"Suspek telah ditahan manakala pemandunya melarikan diri dengan memecut laju kenderaan dari kawasan berkenaan.

"Kereta jenis Perodua Myvi ini didapati disewa dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah serta turut memiliki empat rekod jenayah lampau manakala rakannya yang masih bebas mempunyai lima rekod jenayah lampau," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan usaha memburu seorang lagi suspek iaitu pemandu kereta itu sedang giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE