Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku di bilik tingkat atas sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Jalan Kapitan Keling, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang bekerja sebagai juruwang di kedai tersebut didatangi oleh suspek yang juga bekas kekasihnya ketika sedang bertugas.

Menurutnya, suspek yang berusia 46 tahun itu secara tiba-tiba menyembur sejenis air ke muka lelaki tersebut hingga menyebabkan matanya kepedihan.

“Mangsa yang berusia 24 tahun itu kemudian melarikan diri ke arah biliknya di tingkat atas, namun dikejar oleh suspek sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Semasa pergelutan berke­naan, suspek dikatakan telah memukul kepala mangsa menggunakan tukul besi selain cuba menikam mangsa menggunakan sebilah pisau, namun berjaya dielak oleh mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Zaimani memberitahu, mangsa kemudian meminta tolong daripada orang ramai sebelum seorang anggota polis datang dan menangkap suspek.

“Suspek telah ditangkap bersama barang kes iaitu tukul besi dan sebilah pisau yang digunakan untuk memukul dan cuba menikam mangsa,” katanya yang membe­ritahu kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tambah Che Zaimani, pemeriksaan awal oleh doktor berhubung keadaan mangsa mendapati lelaki itu boleh maut disebabkan kecederaan serta pendarahan dalam otak yang dialaminya akibat serangan tersebut.