Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa G. Arulkumar, 23, memandu Honda Accord maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang bergerak dari arah Lebuh Raya Persekutuan menuju ke Pusat Bandar hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Akibat pelanggaran itu kereta dinaiki mangsa terbabas sebelum terbalik ke bahu kiri jalan.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zulkefly, mangsa berasal dari Keramat Wangsa dan merupakan pekerja swasta di ibu kota.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.