Nasir yang memakai baju kurta coklat muda tiba di SPRM Kelantan, di sini dengan menaiki sebuah Toyota Hilux dipandu ahli keluarga pada pukul 9.50 pagi dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Pas Kawasan Kuala Krai mengesahkan dipanggil pihak SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut namun enggan mengulas lanjut.

“Mereka (SPRM) tanya saya sama ada tahu atau tidak tahu (kes RM90 juta), saya kata tidak tahu.

“Saya ditanya soalan-soalan biasa dan sepanjang pertemuan tadi, saya tidak diminta menyerahkan apa-apa dokumen,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan pejabat SPRM Kelantan, di sini hari ini.

Ditanya sama ada pemimpin Pas lain termasuk Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akan dipanggil sekali lagi oleh SPRM, Mohd. Nasir berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

Media hari ini melaporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Nasir merupakan dua lagi pemimpin Pas yang dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan SPRM berhubung kes tersebut, pagi ini.

Hashim dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis manakala Nasir di pejabat SPRM Kelantan. - UTUSAN ONLINE