Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, pembedahan yang dijalankan pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan pada Jumaat lalu turut dikesan menyebabkan risiko komplikasi kepada otak Mohd. Zamri.

"Sehubungan itu, demi menyelamatkan nyawa beliau, pakar perubatan HUSM telah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan menanggalkan semula ibu jari itu pada hari sama.

"Bagaimanapun, keadaan Mohd. Zamri kini dilaporkan stabil tetapi beliau masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.

Aidi berkata, Mohd. Zamri bakal berehat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pulih sepenuhnya akibat tetakan terbabit yang turut menyebabkannya cedera pada bahagian belakang kepala.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, Mohd. Zamri parah pada kepala di samping putus ibu jari tangan kanan akibat ditetak dengan parang panjang oleh lelaki berusia 33 tahun yang juga merupakan jirannya.

Sebelum kejadian, Mohd. Zamri yang baru tiba di rumahnya untuk menyalin pakaian didatangi suspek yang menaiki Perodua Kembara untuk membuat aduan berkaitan tanah.

Ketika berbual lelaki kurang siuman itu tiba-tiba mengeluarkan parang panjang dari dalam keretanya lalu menetak Mohd. Zamri di belakang kepala dan sekali lagi melibas senjata berkenaan lalu terkena pada ibu jari tangan kanan mangsa hingga terputus. - UTUSAN ONLINE