Kejadian itu berlaku apabila mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai seorang majistret dari Mahkamah Melaka.

Wanita terbabit telah memaklumkan kepadanya bahawa mangsa mempunyai hutang kad kredit sebanyak RM16,840 dan diarahkan menghubungi seorang Sarjan polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk membuat laporan secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa kemudiannya menghubungi 'Sarjan' itu sebelum suspek mengarahkannya memindahkan wang sebanyak RM3,000 ke satu akaun atas nama individu tidak dikenali sebagai cagaran bagi mengelakkan tindakan dari Bank Negara terhadapnya.

"Mangsa mula menyedari ditipu apabila Sarjan tersebut masih menghubungi beliau untuk membuat bayaran tambahan selepas itu.

Dalam perkembangan lain, Mustafa Kamal memberitahu, seorang penyelia kilang berusia 58 tahun turut kerugian RM89,000 selepas menjadi mangsa sindiket terbabit.

Jelasnya, mangsa telah diperdayakan oleh lelaki yang menyamar sebagai seorang pegawai bank yang mengatakan mangsa mempunyai hutang pinjaman peribadi sebanyak RM70,000.

“Mangsa kemudiannya diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah dan bercakap dengan seorang Inspektor yang mendakwanya terlibat dengan satu kes jenayah melibatkan dadah.

“Selepas mengeluarkan wang daripada akaunnya, mangsa memasukkan wang berjumlah RM89,000 ke empat akaun berlainan melalui lima transaksi dari 9 sehingga 26 Julai lalu.

“Mangsa menyedari ditipu setelah suspek mengarahkannya untuk memasukkan wang tambahan sebanyak RM10,000 sebagai bayaran untuk mengeluarkan peguam dari lokap seperti yang diarahkan mahkamah,” jelasnya.

Tambah Mustafa Kamal, sindiket ini sering menggunakan alasan-alasan yang dikitar semula namun apabila panik, ramai mangsa tidak dapat berfikir dengan waras dan logik.

"Mohon orang ramai bertenang dalam menghadapi situasi penipuan ini. Letak saja telefon itu kalau tidak yakin atau merasa diri tidak berdaya untuk mengelak ditipu jika berterusan bercakap di telefon.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-2111222,” katanya.-BERNAMA