Tertuduh, Mohd. Zairi Awang Hamat, 31, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pasar Borong Pandan, Jalan Pandan Ria Utama, Pusat Perdagangan Pandan, di sini pada pukul 11.10 pagi, 3 April lalu.

Bagi perbuatan itu, pembantu kedai makan itu didakwa melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Kaedah 17 (pindaan) 2018, kaedah yang sama dengan denda tidak melebihi RM10,000, jika disabit kesalahan.

Mohd. Zairi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan anak seramai empat orang dengan gaji harian sebanyak RM40 sehari.

Mahkamah memerintah tertuduh dikenakan hukuman denda berjumlah RM700.

Mengikut fakta kes, pembantu veterinar bersama-sama dua anggota daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri membuat pemeriksaan ke atas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Commonrail di Pasar Borong Pandan, bulan lalu.

Pemeriksaan itu mendapati tertuduh memiliki sebanyak 153kg karkas lembu yang tiada tanda selar dan Perakuan Kesihatan Veterinar atau perakuan kebenaran sembelih oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri atau pegawai yang diberi kuasa olehnya. - UTUSAN ONLINE

Habis