Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, seorang penunggang motosikal parah di bahagian kaki dan leher selepas melanggar kren yang terjatuh dari treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Ulu Yam ke Terengganu hilang kawalan ketika menaiki bukit sehingga menyebabkan muatan kren dibawa jatuh.

“Sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar kren yang melintang di atas jalan.

“Pemeriksaan mendapati pemandu treler berusia 47 tahun itu berada dalam keadaan khayal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Bak Phai, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UTUSAN ONLINE