Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis perodua Kancil dikatakan dari arah Kuala Selangor ke Kuala Lumpur sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dari arah bertentangan tiba-tiba terbabas dan masuk ke laluan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan telah bertembung manakala mangsa yang memandu Perodua Kancil itu telah tersepit.

“Mangsa yang tersepit dan patah kaki kanan itu kemudiannya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh. Pemandu kenderaan pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya yang turut memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Fauzi Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.14 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai serta sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, mangsa masih berada di tempat duduk pemandu kerana tersepit di bahagian kakinya. Bagaimanapun, kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.