Mangsa, S. Mohan, 27, yang telah berkahwin berasal dari Taman Permai, Jeram disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Mohd. Asri A. Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila mang­sa bersama tiga lagi rakannya sedang menikmati hidangan di kedai makan tersebut.

Katanya, secara tiba-tiba da­tang sekumpulan empat lelaki yang menaiki kereta jenis Pe­rodua Myvi berwarna putih ma­sing-masing bersenjatakan parang dan memakai topeng ski menye­rang mangsa serta rakannya.

“Bagaimanapun, tiga rakannya sempat melarikan diri, namun mangsa gagal menyelamatkan diri dan mengakibatkan dia ditetak beberapa kali di kepala, ta­ngan, badan dan kaki dari bahagian depan hingga ke belakang kedai.

“Mangsa yang parah telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital tersebut kira-kira pukul 11.10 malam,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Asri, siasatan pihaknya mendapati, selepas kejadian, kesemua suspek melarikan diri menaiki kenderaan tersebut menghala ke Kapar.

“Setakat ini, kita sedang menyiasat motif kejadian sama ada berkaitan dengan unsur gengsterisme dan sedang cuba mengesan rakan-rakan mangsa bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.