PEMANDU ambulans mengalami kecederaan di bahagian mata akibat dibelasah sekumpulan remaja berhampiran Plaza Tol Kamunting arah utara di Taiping, semalam.

Pemandu berusia 53 tahun yang tinggal di Parit Buntar itu berkata, dia tidak mahu kes sama berulang setelah mene­rima empat jahitan di kening hanya kerana menegur per­buatan kumpulan remaja itu.

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama dialaminya sepanjang 13 tahun menjadi pemandu ambulans di laluan yang sering menjadi tempat kumpulan remaja bermotosikal berlum­ba haram.

“Saya sudah biasa menggunakan laluan ini untuk menghantar pesakit dan sememangnya tahu ini merupakan tempat kumpulan bermotosikal berlumba.

“Namun saya tidak me­nyangka mereka bertindak ag­re­sif hanya disebabkan saya menggunakan pembesar suara agar memberi laluan. Selepas ini, saya tidak mahu lagi menegur perbuatan mereka, biar­lah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejadian berlaku pada 1.40 pagi semalam ketika mangsa dan seorang jururawat sedang dalam perjalanan dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping untuk menghantar seorang pesakit.

Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Kamunting arah utara, pemandu ambulans menegur kumpulan remaja bermotosikal dengan pembesar suara agar memberi laluan, menyebabkan mereka marah lalu menghimpit ambulans de­ngan motosikal.

Ketika itu, seorang daripada penunggang terjatuh menyebabkan empat hingga enam remaja lelaki cuba menarik mangsa keluar dari ambulans dan menumbuk muka mangsa.

Sementara itu, jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu dan meleraikan perbuatan kumpulan terbabit, namun dia turut ditendang.

Menurut pemandu ambulans berkenaan, dia lega kerana kumpulan remaja berkenaan akhir­nya beredar setelah orang ramai menyedari kejadian tersebut.

“Setelah kumpulan remaja berkenaan melarikan diri dan kami meneruskan perjalanan menghantar pesakit,” katanya.

Sementara itu, Pe­mang­ku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Razlam Ab. Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.