Hakim Madiha Harullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Mustapha Kamal Mohd. Hashim, 26, selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan yang dibacakan di hadapannya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang bekerja sendiri didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM85 kepada penjawat awam iaitu anggota polis sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 1 petang di Jalan Lorong Jujur Kanan 2, Taman Jujur, Sikamat, dekat Seremban.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Madiha turut mengarahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, Koperal Muhammad Hafizuddin Wahab dari Balai Polis Sikamat telah menahan Mustapha Kamal yang menunggang sebuah motosikal.

Bagaimanapun tertuduh memberi rasuah sebanyak RM85 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan menunggang tanpa lesen memandu sah. - UTUSAN ONLINE