Pengarahnya, Mahadzir Elias berkata, berbanding negeri-negeri lain trend penagihan mungkin bermula dengan rokok sebaliknya penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di Kedah disebabkan kecenderungan terhadap ketum kerana ia mudah didapati.

“Di negeri-negeri utara seperti Perlis dan Kedah, ketum mudah didapati daripada peniaga dan orang perseorangan.

“Jadi ruang penyalahgunaan ketum terutama seawal sembilan tahun adalah tinggi. Bila mereka mengambil ketum dari usia muda, kebarangkalian untuk terjebak dengan perkara lebih serius seperti dadah adalah lebih luas,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri AADK Kedah di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap kerajaan dapat meletakkan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya berbanding Akta Racun pada masa ini.

Mengulas lanjut katanya, penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di Kedah berada pada tahap membimbangkan apabila 7.47 peratus atau 238 orang dikesan positif bahan terlarang itu selepas menjalani ujian air kencing pada tahun lalu.

Katanya, pemeriksaan rawak yang dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu membabitkan 189 sekolah serta 3,158 pelajar.

“Purata penyalahgunaan dadah dalam pelajar sekolah yang berjaya dikesan AADK adalah antara tujuh hingga lapan peratus setiap tahun. Tahun lepas, 238 orang daripada 3,158 pelajar yang diuji didapati positif dadah.

“Kebanyakan mereka berumur antara 15 dan 16 tahun namun terdapat juga murid berusia sembilan tahun yang dikesan positif dadah jenis opiat dan syabu,” katanya.

Menurut Mahadzir, pihaknya memberi tumpuan di 13 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) di negeri ini untuk menjalankan pemeriksaan rawak bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah. - UTUSAN ONLINE