MOHD. Wazir Mohd. Yusof
MOHD. Wazir Mohd. Yusof

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, ketika kejadian pada pukul 2 petang itu, wanita berusia 25 tahun berkenaan berada di rumahnya di Taman Jaya, Temerloh dekat sini menerima panggilan kononnya daripada Telekom Malaysia Sabah.

“Lelaki terbabit mendakwa nama mangsa digunakan untuk mendaftar nombor telefon di sebuah pusat judi di Penampang, Sabah. Kemudian, panggilan itu disambungkan kepada ‘Sarjan Shahrul Ismail’ dari Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

“Mangsa disambungkan pula kononnya kepada pegawai penyiasat , Inspektor Azmi dan memberikan semua maklumat peribadi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, atas arahan Inspektor Azmi, mangsa memasukkan semua wang simpanan secara berperingkat ke dalam akaun Affin Bank milik Mohd. Mustafa Fadli Anuar sebanyak RM14,700 bagi tujuan siasatan.

“Menyedari ditipu, mangsa segera membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE