Sebelum itu mangsa berusia 15 tahun menaiki bas ekspres dari Selangor ke Kota Bharu pukul 9.40 malam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika dalam perjalanan mangsa duduk di kerusi bahagian bawah dalam bas dan kemudian tidur.

"Apabila sedar mangsa dapati tangan lelaki yang duduk di kerusi bahagian belakang berada di atas bahunya lalu bertanyakan mengapa berbuat demikian.

"Mangsa kemudian tidur semula dan merasakan ada tangan meraba di bahagian kepala lalu menepisnya sebelum suspek sekali lagi diraba di bahagian leher dan pipi serta tangannya dipegang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas itu mangsa menelefon keluarganya mengenai kejadian tersebut.

Katanya, apabila sampai di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, bapa mangsa menghubungi pihak polis dan memaklumkan kejadian itu.

"Beberapa minit kemudian anggota polis sampai dan menangkap suspek berusia 49 tahun pada pukul 6 pagi semalam.

“Suspek warganegara Thailand direman selama empat hari bermula semalam hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya. - UTUSAN ONLINE