Difahamkan, mangsa mengalami muntah-muntah selepas beberapa minit memakan mi goreng bercampur dengan racun lipas yang diberikan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk S. Dev Kumar berkata, pelajar lelaki berusia 13 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Sri Jaya di sini pada pukul 2.30 pagi ini.

Katanya, polis bertindak menahan suspek selepas bapa mang­sa berusia 49 tahun dari Pantu di sini, membuat laporan polis tentang insiden menimpa anaknya, petang semalam.

“Dalam laporannya, bapa mang­sa mengatakan dia telah dihubungi oleh guru memaklumkan anak­nya telah dihantar ke Hospital Sri Aman (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

“Tiba di hospital, dia dimaklumkan oleh doktor anak lelakinya itu menelan racun manakala guru yang membawa mangsa mendapatkan rawatan memberitahu pelajar terbabit te­lah mengambil makanan daripada rakan sekelas yang se­ngaja dicampurkan racun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dev Kumar berkata, siasatan awal mendapati suspek telah membawa bekas mi goreng dan kotak racun lipas ke sekolah.

Katanya, semasa berada dalam kelas, suspek mencampurkan racun lipas dalam bentuk serbuk itu dengan mi untuk diberikan kepada mangsa.

“Mangsa yang tidak mengetahui mi diberikan sudah dicampur de­ngan racun telah memakan makanan itu menyebabkan dia menga­lami muntah beberapa minit kemudian. Suspek yang panik dan menyerahkan racun tersebut kepada rakan sekelas lain kemudian bertindak memaklumkan perkara itu kepada guru,” ujarnya.

Menurut Dev Kumar, polis sudah merampas racun lipas tersebut dan masih menyiasat motif suspek tergamak meracun rakan sekelasnya itu dan kini mangsa dilaporkan masih dirawat serta stabil.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kecederaan akibat racun,” jelasnya.

Sementara itu, datuk suspek turut membuat laporan polis petang ini mendakwa, cucunya se­ring di­buli oleh mangsa yang meminta wang dan makanan setiap hari.