Tertuduh, M. Nalan, 31, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Bagaimanapun; tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Silmus Ati Bere, 34, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Tukang, di sini antara pukul 6 petang hingga 7.30 malam, 26 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan S. Pavitra mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang telah berkahwin diwakili peguam, N. Nagaratnam.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Pada 27 Jun lalu, satu mayat lelaki dipercayai warga asing yang disyaki dibunuh ditemukan di tepi jalan Batu 37 Jalan Bukit Selambau-Jeniang berhampiran ladang kelapa sawit, kira-kira pukul 7 pagi.

Pemeriksaan pihak forensik mendapati mayat mempunyai kesan kecederaan pada atas kening sebelah kanan dipercayai dipukul dengan objek tumpul selain luka kecil di bawah mata kiri. -UTUSAN ONLINE