Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, empat aspek tersebut terdiri daripada penguatkuasaan undang-undang jalan raya, mengekalkan pelaksanaan konsep subtek di peringkat kontinjen, memberi tumpuan kepada kontinjen serta daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi serta menggunakan pendekatan berteraskan 'total enforcement'.

"Total enforcement ini melibatkan rondaan di kawasan 'blackspot', Op Lancar dan advokasi serta kempen jalan raya," katanya ketika Majlis Pelancaran Op Selamat 15 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019, di Menara TM Bangsar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Telekom Malaysia Berhad, Rosli Man dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, berdasarkan laporan statistik Op Selamat 13/2018 lalu, sebanyak 22,411 kes kemalangan dilaporkan berbanding Op Selamat 11/2017 dengan 22,402 kes sekaligus mencatatkan peningkatan sembilan kes iaitu 0.04 peratus.

Katanya, bagaimanapun, kadar kemalangan maut menunjukkan penurunan sebanyak empat kes (1.7 peratus), bagi kes kematian pula menurun sebanyak sembilan kes (3.5 peratus).

"Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa Op Selamat 13/2018 berjaya memberi impak yang berkesan dalam menurunkan kadar kematian. Manakala peningkatan kes kemalangan secara khususnya dilihat seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di seluruh negara," katanya. - UTUSAN ONLINE