Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) dalam kenyataan memberitahu, akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jawatankuasa Surau Sabilul Huda dan pengerusi rukun tetangga kawasan berkenaan bagi memastikan isu itu ditangani dengan aman.

Kata kenyataan itu, Perpaduan melalui rukun tetangga akan memberikan kerjasama kepada pihak polis dan jawatankuasa surau dalam memastikan keselamatan surau serta kawasan kediaman terjamin.

“Hasil siasatan Perpaduan mendapati pihak surau telah pun membuat laporan polis bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut untuk tindakan dan siasatan pihak polis.

“Justeru, Perpaduan amat menghargai tindakan pihak polis dan jawatankuasa surau dalam menangani isu tersebut. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap isu ini dan menunggu laporan daripada pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Semalam, jemaah Surau Sabilul Huda dan penduduk Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang dikejutkan dengan perbuatan biadab individu tidak bertanggungjawab yang meletakkan satu patung berhala bersebelahan pintu masuk utama di surau berkenaan.

Patung itu disedari Siak Surau Sabilul Huda, Mohd. Yatim Omar kira-kira pukul 2.30 hingga 4 petang yang tiba untuk membuat persiapan solat Asar. - UTUSAN ONLINE