Dengan menaiki sekurang-kurangnya tiga buah motosikal yang dipercayai dicuri, suspek mensasarkan warga emas wanita sama ada yang berjalan kaki; menyiram pokok bunga di hadapan rumah atau yang sedang mengeluarkan barang dan berjalan ke tempat letak kereta.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu berjaya dipatahkan selepas tiga daripada mereka ditahan sepasukan polis daerah Timur Laut di Pelabuhan Sweetenthan, Lebuh Pantai, Georgetown, di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah, mereka yang ditahan menerusi Op Rentap Sempadan itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 33 tahun.

Katanya, susulan penahanan itu, polis menyerbu dua buah rumah di Lintang Kalui, Seberang Jaya di sini dan di Bukit Lada, Pokok Sena, Kedah sebelum menahan seorang lagi suspek wanita berusia 29 tahun.

Tambah beliau, pemeriksaan di kedua-dua buah rumah itu turut menemukan pelbagai jenis barang kemas; nombor pendaftaran palsu motosikal yang digunakan untuk meragut serta 10 bungkusan dadah disyaki jenis syabu.

“Kedua-dua suspek lelaki yang ditangkap aktif melakukan jenayah samun dan ragut di sekitar negeri ini dan di Kedah dan Perak.

“Malah, mereka turut mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya 34 kes samun dan ragut yang dilaporkan masing-masing 22 kes di Pulau Pinang; tujuh di Kedah dan lima di Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zainol, salah seorang suspek wanita pula bertindak menjual barangan kemas yang diragut pada harga murah menerusi online termasuk Faceboook.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana individu yang membeli barang kemas pada harga murah terutama daripada pembeli wanita dari negeri ini menerusi online supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan bagi kesalahan rompakan berkawan di bawah Seksyen 395B Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE