Memetik laporan Suara Sarawak,Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, pasangan itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan pasukan JSJN IPK Sarawak di sebuah rumah di Taman Pelita, Miri pada pukul 10.15 malam semalam.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek yang berusia antara 32 dan 36 tahun itu menemukan dadah jenis syabu seberat 42.33 gram, 22 biji ekstasi seberat 7.33 gram, 0.80 gram serbuk ekstasi dan 1.38 gram ganja.

“Kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM7,690 berdasarkan harga pasaran.

“Siasatan mendapati suspek mula aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah itu sejak bulan Mac 2018 di kawasan sekitar bandaraya ini dan pusat-pusat hiburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, pasangan terbabit ditahan di bawah Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1592, dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua pasangan dipercayai tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan turut didapati positif dadah jenis syabu dan amfetamin,” ujarnya.

Sahar berkata, permohonan reman telah dibuat dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun penjara dan termasuk tidak kurang 10 sebatan. – UTUSAN ONLINE