Suspek lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu ditahan di rumah mereka dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan polis Seberang Perai Utara (SPU).

Menurut Ketua Polis (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sejumlah dadah bernilai RM212,580 terdiri daripada 1,351.2 gram (g) disyaki syabu dan 660 biji pil disyaki Yaba.

“Selain itu, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang disyaki dibeli pasangan berkenaan dengan hasil kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPU, di sini pagi ini.

Noorzainy berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak kira-kira enam bulan lalu iaitu selepas suspek lelaki berkenaan dibebaskan daripada penjara.

Jelasnya, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek yang positif dadah itu masing-masing mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya turut melumpuhkan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki di tempat letak kereta Flat Taman Desa Sena, di sini Khamis lalu.

Tambahnya, suspek berusia 36 tahun itu yang aktif mengedar dadah sejak setahun lalu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 82g bernilai kira-kira RM12,300.

“Suspek itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kes dadah dan turut positif ujian saringan air kencing,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE