Tangkapan itu dilakukan di Bandar Utama dan Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis pada 2 dan 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan pada 3 Ogos lalu dilakukan ke atas sebuah kereta yang dinaiki pasangan kekasih itu kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, sebelum itu, wanita serta lelaki yang berusia 20 dan 29 tahun tersebut dikatakan menaiki kereta jenis Proton Preve sedang meronda di Bandar Utama dipercayai mahu melakukan transaksi jual beli dadah.

“Bertindak atas maklumat orang awam kita telah menjalankan pemeriksaan di dalam kereta pasangan itu dan menjumpai lima bungkus plastik berwarna biru mengandungi 4,285 pil kuda dengan nilai RM17, 140.

“Setiap plastik itu mengandungi 857 pil dan kita turut menemukan satu bungkus plastik mengandungi cecair dipercayai dadah dan sebilah pisau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Mohd. Taufik berkata, hasil saringan air kencing ke atas lelaki yang berasal dari Gambang, Kuantan, Pahang dan teman wanitanya dari Felda Aring 1 di sini didapati negatif dadah.

Katanya, lelaki terbabit juga mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan teman wanitanya pula tidak mempunyai sebarang rekod sebelum ini.

Sementara itu, Mohd. Taufik berkata, dalam serbuan pada 2 Ogos sekitar pukul 2 pagi pula di sebuah rumah dalam kebun di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis menjumpai 390 biji dipercayai pil kuda bernilai RM7,800.

Katanya, susulan itu seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga penduduk tempatan ditahan untuk siasatan lanjut apabila saringan air kencing positif dadah serta mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah.

“Ketiga-tiga suspek itu masih ditahan reman sehingga 9 Ogos ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Taufik berkata, pihaknya telah melakukan sebanyak 65 tangkapan berkaitan pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Ice Breaker pada 29 Julai hingga 4 Ogos lalu.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan oleh anggota bahagian Narkotik IPD Gua Musang itu termasuklah 65 orang lelaki dan dua darinya wanita. - UTUSAN ONLINE