Suspek lelaki berusia 36 tahun yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan, manakala teman wanitanya berusia 27 tahun yang menjadi juruwang di kedai sama didapati hidup mewah termasuk memiliki sebuah kereta Volkswagen Polo GTi hasil aktiviti pengedaran dadah sejak akhir tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah menyerbu dan menahan kedua-dua suspek di rumah terbabit pada pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan  badan kedua-dua suspek dan rumah tersebut tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. 

"Namun, berpandukan dengan alat kawalan  kunci kereta yang dirampas di bilik berkenaan, polis berjaya menemukan syabu seberat 97.6 gram bernilai kira-kira RM10,000 disembunyikan dalam kereta Volkswagen Polo GTi yang diparkir digaraj rumah tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod lampau  mendapati, suspek lelaki pernah dipenjara empat tahun kerana disabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 2008.

Katanya, saringan air kencing pula mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak akhir tahun lalu.

Tambahnya, pasangan terbabit kini ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.