Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan kes bakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang turut menyaksikan anggota Jabatan Amal Pas ditahan bagi membantu siasatan.

“Saya harap semua pihak menghormati tugas polis dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menganggu siasatan polis.

“Pas sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu polis memaklumkan bahawa telah menahan suspek utama kes bakar kereta Mohd. Asri yang juga merupakan anggota Jabatan Amal Pas negeri dalam serbuan di sekitar negeri ini, kelmarin.

Suspek utama yang dikenali sebagai Muzaini, 33, itu ditahan bersama empat suspek lain yang turut didakwa terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. dilaporkan berkata, kesemua suspek tersebut direman selama empat hari berakhir esok.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Mie Tomoi yang diupah bagi melakukan perbuatan itu.- UTUSAN ONLINE