Difahamkan, blogger terbabit ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan lehernya dicekak selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di Kajang, semalam.

Papagomo yang sebelum ini sudah pun dihubungi dan diminta tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan semalam kemudian dibawa ke IPD Kajang untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, pengesahan sama ada dia akan dibebaskan selepas diambil kenyataan atau terus ditahan masih belum diperoleh daripada pihak polis.

Pagi tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, memberitahu bahawa Papagomo adalah antara dua individu yang dipanggil bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes dakwaan serangan ke atas Syed Saddiq. - UTUSAN ONLINE