Itu dilakukan tiga pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk seorang daripadanya berpangkat Penolong Pengarah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Kesemua suspek berusia 25 sehingga 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.20 petang di sekitar Miri, Sarawak.

Menurut sumber, kegiatan mereka terbongkar susulan satu serbuan dilakukan SPRM pada 27 September lalu di sebuah gudang haram yang dijadikan tempat menyimpan kepak ayam diragui halalnya.

Ujarnya, kesemua kepak ayam itu diimport dari negara yang tidak dibenarkan sebelum dilepaskan lalu diseludup masuk ke pelabuhan di pintu-pintu sempadan antara Malaysia dan Brunei tanpa sebarang pemeriksaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua pegawai terlibat dikatakan telah dibayar antara RM4,000 sehingga RM5,000 sebulan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan, sejauh mana penglibatan pegawai-pegawai terbabit memandangkan sindiket itu bukan sahaja menyeludup masuk kepak ayam tetapi pelbagai barangan lain seperti beras, rokok dan arak sebelum disimpan di gudang milik seorang Datuk Seri,” katanya kepada Ming­guan Malaysia di sini hari ini.

Tambah sumber lagi, permohonan reman akan dilakukan ke atas kesemua suspek bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 27 September lalu, Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya mendedahkan me­ngenai serbuan membabitkan se­buah gudang penyimpanan ke­pak ayam yang beroperasi sejak 30 tahun di Miri, Sarawak setelah dijalankan secara haram.

Laporan terbabit turut mendedahkan kegiatan didalangi individu bergelar Datuk Seri.

Gudang itu tidak pernah diserbu oleh mana-mana pihak meskipun kepak-kepak ayam ber­kenaan diseludup dari negara jiran yang mana penyembelihannya diragui dan dipasarkan di Sarawak serta Sabah.