Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, dua lelaki berusia 32 dan 44 tahun itu ditahan ketika bot ronda PPM W2 Muar, melakukan rondaan di sekitar sungai terbabit.

Timbalan Komander PPM W2, Superintenden Noor Azman Jamal berkata, selepas menahan bot berkenaan, pemeriksaan lanjut dijalankan dan mendapati terdapat kira-kira dua tan bijih timah yang diisi dalam 50 guni.

"Guni berisi bijih timah ini disorokkan dalam tong di bahagian depan (luar) atas dek bot berkenaan.

"Hasil semakan, tiada sebarang dokuman pemilikan atau pembawaan yang sah dikemukakan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noor Azman berkata, tekong dan awak-awak bot itu kemudian ditahan dan bijih timah terbabit serta bot berkenaan dirampas.

Katanya, semua barangan yang dirampas yang dianggarkan bernilai RM50,000 dan mereka yang ditahan diserahkan ke Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Batu Pahat untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE